KUCHING : Kerajaan Sarawak menyasarkan seramai 10,000 pelajar menikmati Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) menjelang akhir tahun ini.
Ia sekali gus merealisasikan antara agenda terbesar pembangunan pendidikan di negeri ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, tahun 2026 turut menjadi detik bersejarah bagi rakyat Sarawak apabila kerajaan mula melaksanakan pendidikan tinggi percuma untuk anak negeri.
“Setakat ini seramai 4,694 pelajar daripada empat institusi pengajian tinggi di Sarawak telah ditawarkan pendidikan percuma.
“ia termasuk pelajar sedia ada dan pelajar yang mendaftar sebelum 31 Mac tahun ini,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya, pecahan bagi pelajar yang terlibat dalam FTES adalah seramai 172 di Kolej Universiti i-CATS di Kuching, 543 di Universiti Curtin Malaysia di Miri, 1,959 di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di Kuching dan 2,020 pelajar di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu.
Jumlah itu dijangka meningkat dengan kemasukan baharu bagi sesi Jun dan September nanti.
Menjawab persoalan mengenai kemampuan kerajaan mengekalkan skim tersebut pada masa hadapan, beliau menjelaskan kedudukan kewangan Sarawak kini berada pada tahap kukuh.
“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak meningkat kepada RM148 bilion pada tahun 2024 dengan pendapatan per kapita mencecah sekitar RM80,000.
“Ia sekali gus meletakkan Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi dan kewangan Sarawak turut mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.
Jelas beliau lagi, Sarawak juga telah menubuhkan “Sarawak Sovereign Wealth Future Fund” pada tahun 2022 sebagai dana simpanan generasi masa depan termasuk bagi sektor pendidikan.
Pelaburan dalam pendidikan merupakan strategi jangka panjang untuk melahirkan modal insan berkualiti yang mampu memperkukuh ekonomi negeri pada masa depan.
