Mahkamah Bumiputera Sarawak akan distruktur semula, RUU baharu sedang dirangka

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan transformasi besar terhadap sistem Mahkamah Bumiputera Sarawak menerusi penyusunan semula struktur pentadbiran dan bidang kuasa mahkamah berkenaan.


Menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Istiadat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, kajian penstrukturan semula dan menaiktaraf Mahkamah Bumiputera Sarawak yang dimulakan pada tahun 2020 telah siap sepenuhnya pada Februari 2023.


“Laporan akhir kajian tersebut telah dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Julai 2023.


“Pada dasarnya ia diluluskan menerusi Pelan Induk Transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak (Masterplan for the Transformation of the Native Courts of Sarawak).”katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini , hari ini.


Tambahnya,berdasarkan pelan induk itu, pindaan besar akan dilakukan terhadap Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992.


Ia membolehkan proses penstrukturan semula dilaksanakan secara menyeluruh dan Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 sedia ada akan dimansuhkan.


Ia digantikan dengan ordinan baharu menerusi penggubalan Rang Undang-Undang Mahkamah Bumiputera yang kini sedang dirangka sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN).


Penstrukturan semula itu dijangka melibatkan perubahan dalam struktur pentadbiran serta bidang kuasa Mahkamah Bumiputera Sarawak bagi memperkukuh sistem perundangan adat di negeri ini.


Mengulas lanjut,Jefferson memaklumksn setakat 1 Mei 2026, sebanyak 4,755 kes melibatkan pertikaian tanah adat bumiputera telah didaftarkan di Mahkamah Bumiputera Sarawak.


Pertikaian dibicarakan di tiga peringkat Mahkamah Bumiputera Sarawak iaitu Mahkamah Bumiputera Daerah, Mahkamah Bumiputera Residen dan Mahkamah Rayuan Bumiputera Sarawak.


Manakala bagi status terkini kes berdaftar yang masih belum selesai melibatkan 1,316 kes di peringkat Mahkamah Bumiputera Daerah, 187 kes di peringkat Mahkamah Bumiputera Residen dan 92 kes di peringkat Mahkamah Rayuan Bumiputera.


Katanya, Mahkamah Bumiputera Sarawak telah melaksanakan pelbagai langkah strategik dan berterusan bagi mempercepatkan penyelesaian kes-kes yang didaftarkan.