KUCHING: Sarawak bakal mencipta sejarah sebagai tuan rumah persidangan antarabangsa pertama berskala besar berkaitan Social Impact Assessment (SIA) di Malaysia dan rantau ASEAN menerusi penganjuran The Social Impact Assessment Conference and Exhibition 2026 (SIAC2026) dari 23 hingga 25 November depan di Hotel Pullman, di sini.
Timbalan Premier Sarawak, berkata persidangan itu bakal menghimpunkan sekitar 700 peserta.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia termasuk 500 delegasi antarabangsa terdiri daripada pakar, penggubal dasar dan pemain industri dari dalam serta luar negara.
Ujar beliau, ia menunjukkan Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pembangunan mampan.
“Persidangan antarabangsa akan membincangkan pelaksanaan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan.
“SIAC2026 merupakan persidangan pertama di Malaysia dan ASEAN yang memberi fokus khusus kepada penilaian impak sosial (SIA) ,” katanya pada sidang media mengenai SIAC 2026 di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
SIAC 2026 dianjurkan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah bersama Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak.
Ia selari dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) Sarawak 2030 yang menekankan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Sarawak Datu Sr Zaidi Mahdi.
