SINGAPURA: Hubungan erat di antara Sarawak dan Singapura kini berkembang melangkaui kerjasama ekonomi tradisional apabila kedua-dua wilayah bergerak seiring membentuk ekosistem tenaga hijau serantau yang lebih mampan dan saling berhubung.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama strategik yang sedang dibina antara kedua-dua pihak bukan sekadar melibatkan urusan perdagangan tenaga, sebaliknya menjadi asas penting kepada pembentukan model ekonomi hijau baharu di Asia Tenggara.
“Pembangunan koridor tenaga hijau rentas sempadan antara Sarawak dan Singapura akan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga hijau serantau, selain menyokong aspirasi jangka panjang ke arah peralihan tenaga bersih dan ekonomi sifar bersih.
“Hubungan ini bukan hanya mengenai bekalan tenaga semata-mata, tetapi membabitkan pembinaan infrastruktur bersama termasuk hubungan grid, sistem pensijilan dan kerangka dasar yang dibangunkan secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Sarawak and the Region: A Green Economy Built in Real Time sempena Philanthropy Asia Summit 2026 di Marina Bay Sands, hari ini.
Beliau berkata, Sarawak sejak sekian lama membawa visi untuk muncul sebagai “Bateri ASEAN” dengan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui bagi membekalkan tenaga bersih kepada rantau Asia Tenggara menerusi pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menegaskan bahawa sektor filantropi hari ini perlu memainkan peranan lebih besar dalam mempercepat inovasi, memperkukuh institusi dan menyokong pembangunan lestari yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
Katanya, Sarawak kini memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem transformasi mampan merangkumi penyelidikan, pembangunan bakat, teknologi hijau, daya tahan komuniti dan pembangunan industri rendah karbon.
