Pelabuhan utama Sarawak dikorporatkan, diklusterkan

BINTULU: Kesemua enam pelabuhan utama di Sarawak termasuk Pelabuhan Bintulu di sini bakal dikorporatkan.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata ini menerusi pelaksanaan Kajian Induk Pelabuhan Sarawak.

“Kita akan korporatkan semua pelabuhan di Sarawak termasuk Pelabuhan Bintulu supaya pengurusannya lebih cekap dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Gawai Dayak Peringkat Daerah Bintulu 2026 di sebuah restoran terkenal di sini, malam tadi.

Majang berkata, pelabuhan terbabit juga akan diklusterkan mengikut kelebihan masing-masing supaya tidak berlaku pertindihan fungsi dan dapat meningkatkan prestasi.

Majang berkata, Kerajaan Sarawak mengendalikan sepenuhnya semua pelabuhan utama di negeri ini menerusi Lembaga Pelabuhan Sarawak sebagai badan pengawal selia tunggal.

Selain itu, beliau memaklumkan cadangan penubuhan Kawasan Zon Bebas Cukai di Pelabuhan Bintulu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) awal tahun ini dan dijangka menarik lebih ramai pelabur menggunakan pelabuhan terbabit.