KUCHING: Sebanyak 81 projek naik taraf dan pengubahsuaian sekolah daif di Sarawak berjaya disiapkan setakat ini, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu menerusi peruntukan
RM1 bilion disediakan bertujuan meningkatkan keselamatan serta persekitaran pembelajaran pelajar.
Katanya, kerajaan negeri kekal komited memastikan semua pelajar di Sarawak menikmati persekitaran pembelajaran selamat, kondusif dan berkualiti.
Beliau berkata, usaha menangani isu sekolah daif terus menjadi keutamaan kerajaan negeri walaupun bidang pendidikan berada di bawah bidang kuasa Persekutuan.
“Melalui pelaburan strategik dan kerjasama khususnya di luar bandar dan pedalaman, kita kekal komited memastikan kanak-kanak Sarawak mendapat akses persekitaran pembelajaran selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Roland Sagah berkata, pihaknya mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) mengambil tindakan segera susulan insiden renjatan elektrik di sebuah sekolah tempatan baru-baru ini.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.
Mengulas isu SK Abang Leman yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir, beliau berkata, pihaknya menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan mempercepatkan projek berkenaan yang telah lama tertangguh.
Katanya, sekolah di Meluan dan Engkilili pula masih selamat dan berfungsi, namun JPNS akan terus memantau penyelenggaraan berfasa bagi kuarters guru dan kemudahan sekolah.
Beliau turut memaklumkan SK Balingian dan SK Ng. Jagau dicadangkan untuk dipindahkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) manakala projek pembangunan semula SK Haji Bollah Kaba kini menunggu kelulusan Persekutuan di bawah Rancangan Boleh Pinda Kedua rancangan sama.
Menurutnya, projek melibatkan SMK Balingian akan ditender semula pada Ogos ini sementara kerja di SK Penasu Daro dijangka siap pada Julai 2026.
Dalam perkembangan lain, Roland berkata, kerajaan negeri menyokong penuh cadangan mewujudkan sekolah sukan penuh di Sarawak menerusi pembangunan semula Sekolah Sukan Negeri SMK Tabuan Jaya yang telah diluluskan di bawah Rancangan Boleh Pinda Kelima (RMK-12).
Katanya, projek itu melibatkan naik taraf kemudahan sedia ada, penambahbaikan standard pemakanan dan perolehan peralatan atletik berprestasi tinggi.
Mengenai program bas sekolah percuma yang dibangkitkan ADUN Padungan (Chong Chieng Jen), beliau berkata, kesemua 30 bas di bawah program tersebut disahkan layak digunakan oleh PUSPAKOM termasuk lima bas berusia lebih 30 tahun yang menjalani pemeriksaan ketat keselamatan.
Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya turut melaksanakan inisiatif pembelajaran digital menerusi projek Raspberry Pi di semua sekolah rendah sejak 2020 dan penyediaan Interactive Smartboards (ISB) di 180 sekolah menengah bermula 2025.
