Agenda pembangunan Kapit diperkasa

KAPIT: Pembangunan di bahagian ini akan terus diperkasakan dan menjadi keutamaan dalam kalangan pemimpin tempatan.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini termasuk beliau sendiri sebagai menteri dan Ahli Parlimen Kapit.

“Walaupun tanggungjawab saya sebagai Menteri Kerja Raya meliputi seluruh Malaysia, komitmen terhadap pembangunan Kapit tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Seblie Ngelai, Nanga Dap, Batang Rajang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tiga tahun lima bulan menerajui Kementerian Kerja Raya, peruntukan Kerajaan Persekutuan yang dibawa ke Bahagian Kapit melebihi RM2.1 bilion.

Katanya, ini termasuk lebih RM300 juta bagi projek Jambatan Sungai Belawai yang menyeberangi Batang Rajang serta lebih RM400 juta bagi jalan dari Nanga Belawai ke Nanga Seranau.

“Ia turut melibatkan projek pembinaan Kolej Profesional MARA, Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit baharu dan pelbagai lagi projek infrastruktur lain,” jelasnya.

Menurutnya, melalui semangat kerjasama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin setempat sebagai satu pasukan juga pelbagai projek pembangunan telah dan sedang dilaksanakan di Bahagian Kapit.

“Antara projek utama yang dilaksanakan ialah jalan dari Nibong/Tada ke Sungai Belawai, pembinaan jambatan menyeberangi Batang Rajang di Sungai Belawai, jalan dari Nanga Belawai ke Nanga Seranau serta perancangan sambungan jalan ke kawasan sekitar Kapit,” ujarnya.

Pada majlis itu, Nanta turut memaklumkan projek naik taraf Rumah Panjang Seblie Ngelai melibatkan pemasangan jubin di ruai rumah panjang keseluruhan bernilai RM408,000 dilaksanakan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM250,000 bagi bekalan air untuk Rumah Seblie Ngelai serta RM5,000 kepada Biro Wanita bagi 20 rumah panjang yang belum menerima peruntukan sebelum ini.

Turut hadir ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang serta Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Datuk Alvin Runggah Jimbun.