KUCHING: Peserta rancangan pembangunan tanah FELCRA di Sarawak sering menyuarakan rasa tidak puas hati susulan jumlah dividen bersih yang diterima kadangkala sangat kecil sungguhpun FELCRA Berhad mengumumkan agihan keuntungan yang sangat memberangsangkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dato, Azizul Annuar Adenan berkata, antara punca utamanya ialah potongan hutang pembangunan dan skala projek yang kecil dan bertaburan.
“Pada Mac 2026, FELCRA Berhad mengumumkan agihan keuntungan yang sangat memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir Disember 2025,” katanya semasa membahas usul penghargaan ke atas Yang di-Pertua Negeri semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
Menurut Azizul, kadar dividen ditetapkan pada 15 peratus bagi Koperasi Peserta FELCRA dengan jumlah agihan sebanyak RMK302.9 juta agihan akhir kepada 21,680 peserta di seluruh negara.
Pencapaian itu, katanya, disifatkan sebagai prestasi kedua terbaik dalam sejarah 60 tahun FELCRA didorong oleh kenaikan harga purata buah tandan segar kelapa sawit ke paras RM850 setan.
Bagaimanapun, katanya, di sebalik angka jutaan ringgit itu, peserta di Sarawak sering menyuarakan rasa tidak puas hati kerana jumlah dividen yang diterima kadangkal sangat kecil.
Menurut Azizul, terdapat laporan daripada peserta (contohnya di kawasan Sibu) yang mendakwa mereka hanya menerima dividen beberapa kali sahaja dalam tempoh puluhan tahun operasi yang menimbulkan persoalan tentang kecekapan tadbir urus ladang.
Beliau berkata, isu dividen di Sarawak bukan semata-mata kerana FELCRA tidak untung tetapi kerana struktur kos dan hutang lama.
