Perluaskan ‘Digital Classroom’

KUCHING: Seorang penyokong Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencadangkan supaya Kerajaan Sarawak memperluaskan konsep ‘Digital Classroom’ khusus di sekolah rendah luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, kewujudan digital classroom itu adalah sebagai satu pelaburan besar dalam melahirkan generasi celik teknologi dan berkemahiran tnggi.

“Dunia hari ini sedang bergerak pantas ke arah ekonomi digital, automasi, kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi pintar,” katanya semasa membahas usul penghargaan ke atas Yang di-Pertua Negeri semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Miro berkata, melalui konsep Digital Classroom proses pembelajaran menjadi lebih interaktif, menarik dan mudah difahami.

Pengenalan konsep “Digital Classroom” itu amat penting terutama bagi sekolah luar bandar agar jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan, katanya.

Beliau juga berkata, dalam usaha memastikan Sarawak terus maju dan berdaya saing, rakyat mahu melihat budaya kerja yang lebih pantas, responsif dan berorientasikan penyelesaian.

Apa gunanya pengumuman projek dibuat dengan begitu gah, jika akhirnya projek tertangguh bertahun-tahun hanya kerana proses kelulusan meja ke meja yang mengambil masa yang terlalu panjang, tegas beliau.

Miro menambah, ia bukan sahaja menjejaskan rakyat, malah memberi imej kurang baik kepada kerajaan.