SIBU: Kekuatan dan perpaduan parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi faktor penting dalam menentukan kestabilan politik negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS muncul sebagai antara penentu utama dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan ketika negara berdepan ketidaktentuan politik susulan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Dalam kata lain, komponen politik yang bersatu akan menentukan masa depan Malaysia. Disebabkan kekuatan kita, mereka mesti mendapatkan sokongan GPS untuk membentuk kerajaan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tri-Tahunan Parti Demokratik Progresif (PDP) 2026 di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, perjuangan GPS berteraskan semangat mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sebagaimana yang dimulakan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan diteruskan oleh beliau bersama parti-parti komponen GPS.
“Kita tidak mahu lebih dan tidak mahu kurang, tetapi kita mahu apa yang telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu direalisasikan sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut mengimbau situasi politik negara selepas peletakan jawatan Dr Mahathir apabila Istana Negara mendapatkan pandangan GPS mengenai calon Perdana Menteri.
Menurutnya, GPS ketika itu menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum kemudiannya menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan seterusnya pembentukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU15.
“Apabila Agong (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) ketika itu meminta kerajaan perpaduan dibentuk, kita akur dan menyokong demi kestabilan negara,” katanya.
Abang Johari berkata, kekuatan ekonomi Sarawak membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai dasar inklusif termasuk pendidikan tinggi percuma kepada rakyat Sarawak tanpa mengira kaum atau agama, selagi memiliki kad pengenalan ‘K’.
“Tidak Melayu sahaja, tidak Iban sahaja atau Melanau sahaja, tetapi semua rakyat Sarawak menikmati manfaat ini,” ujarnya.
Menurutnya, peningkatan hasil negeri juga membolehkan Sarawak menubuhkan dana kekayaan berdaulat sebagai simpanan untuk generasi masa depan.
Abang Johari berkata, Sarawak kini memberi tumpuan kepada transformasi ekonomi menerusi ekonomi digital, tenaga hijau dan teknologi hidrogen bagi memastikan negeri itu terus berdaya tahan menghadapi perubahan global.
Katanya, langkah kerajaan negeri menukar penggunaan generator diesel kepada tenaga solar di pedalaman sebelum ini terbukti membantu rakyat ketika berlaku ketidaktentuan harga minyak dunia.
Beliau juga optimis teknologi hidrogen akan menjadi sumber tenaga masa depan apabila kos pengeluarannya semakin menurun.
Pada masa sama, katanya, Sarawak turut memberi perhatian kepada pembangunan teknologi aeroangkasa, data dan kecerdasan buatan (AI) sebagai persediaan menghadapi ekonomi masa depan.
Abang Johari turut mengingatkan rakyat Sarawak supaya terus bersatu dan tidak mudah dipengaruhi unsur yang boleh memecah-belahkan negeri.
“Kalau kita bersatu, tidak mungkin orang boleh memecahkan kita kerana bagi kita, Sarawak adalah yang pertama,” tegasnya.
Turut hadir ialah Presiden PDP, Dato Sri Tiong King Sing, Timbalan Presiden PDP, Datuk Henry Jinep, Naib Presiden Kanan PDP, Datuk Dr Penguang Manggil, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Agung PRS, Dr Malcom Mussen Lamoh, wakil Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Michael Tiang Ming Tee serta yang lain.
