KOTA SAMARAHAN: Usahawan digalak memanfaatkan teknologi digital serta platform media sosial bagi mengembangkan perniagaan sekali gus meningkatkan pendapatan keluarga.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, penggunaan platform seperti Facebook, TikTok dan jualan dalam talian membantu usahawan tempatan memperluaskan pasaran produk selain meningkatkan daya saing dalam ekonomi semasa.
Menurutnya, ramai usahawan berjaya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sebelum berkembang menjadi pengusaha berjaya hasil usaha gigih, ilmu perniagaan dan kebijaksanaan menggunakan teknologi semasa.
“Jangan malu bermula secara kecil-kecilan kerana kejayaan besar bermula daripada langkah pertama. Yang penting ialah kesungguhan untuk terus belajar dan berusaha,” ujarnya.
Rubiah menjelaskan, sambutan perayaan seperti Gawai bukan sekadar acara kebudayaan dan hiburan, sebaliknya menjadi platform mengukuhkan hubungan silaturahim serta semangat saling menghormati.
“Keunikan Sarawak terletak pada rakyatnya yang hidup suasana harmoni walaupun berbeza kaum, agama dan budaya. Nilai ini perlu terus dipertahankan demi kesejahteraan bersama,” katanya.
