KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh komitmennya menjaga kebajikan rakyat menerusi pelbagai bantuan utiliti termasuk pemberian diskaun bil elektrik dan air yang melibatkan peruntukan keseluruhan lebih RM376 juta tahun ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Kerajaan Sarawak memberikan diskaun 25 peratus kepada bil bekalan elektrik bermula April hingga Disember tahun ini membabitkan jumlah bantuan sebanyak RM188.1 juta.
Beliau berkata, bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 715,000 pemegang akaun di seluruh Sarawak.
“Kerajaan Sarawak juga masih meneruskan diskaun RM5 kepada semua pengguna bagi 11,300 liter pertama bekalan air dan jumlah bantuan itu mencecah RM188.75 juta.
“Ini menunjukkan Kerajaan Sarawak prihatin terhadap kebajikan rakyat Sarawak pada hari ini,” katanya pada sidang media selepas ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Liwan Lagang dan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki.
Julaihi menjelaskan, kementerian terus memberi tumpuan kepada pembangunan dan penyediaan kemudahan utiliti meliputi bekalan air, elektrik, pengedaran gas serta telekomunikasi dan internet di seluruh Sarawak.
Beliau berkata, kementeriannya turut menerbitkan buku “Facts and Figures Handbook 2025” yang mengandungi maklumat terkini berkaitan perkembangan sektor utiliti dan telekomunikasi di Sarawak untuk diedarkan kepada media serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain itu, katanya, kementerian juga akan mengedarkan kemas kini terkini pelaksanaan program Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF) di seluruh Sarawak kepada semua ADUN.
Mengulas mengenai pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), Julaihi memberitahu, kemudahan itu kini dipasang di bandar utama seperti Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.
Katanya, pemasangan stesen EV di laluan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) , jalan pesisir serta Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR)
akan dilaksanakan secara berfasa.
“Kita akan memasang stesen EV secara berfasa terutama sekali di laluan LPB, jalan pesisir dan SSLR mengikut perancangan kerajaan,” katanya.
