KUCHING: Sebanyak lima syarikat besar dalam industri minyak dan gas menjalankan aktiviti berkaitan gas tanpa lesen di Sarawak setakat ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, sebanyak lapan notis ketidakpatuhan dikeluarkan kementerian itu kepada syarikat terbabit pada 28 Julai 2025.
“Penalti kewangan berjumlah RM120 juta dikenakan selaras Seksyen 21A, Ordinan Pengagihan Gas, 2016 (DGO 2016), katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di Persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Julaihi sehubungan itu berkata, walaupun perkara ini masih berada dalam proses perundangan, penguatkuasaan masih dilaksanakan berdasarkan undang-undang yang sah dan terpakai kepada semua pihak yang beroperasi di Sarawak.
Beliau berkata,Pengisytiharan Bersama ditandatangani 21 Mei 2025 di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang mana semua undang-undang berkaitan pengedaran gas hendaklah wujud secara bersama dan perlu dihormati oleh semua pihak, termasuk Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan PETRONAS.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan Kerajaan Sarawak kekal komited untuk bekerjasama dengan PETRONAS dalam agenda peralihan tenaga dan ekonomi rendah karbon, bagi memastikan
pelaksanaan Sarawak Gas Roadmap (SGR) dapat terus diperkukuhkan secara teratur dan berlandaskan undang-undang.
“Kementerian saya, melalui PETROS, giat menjalankan usaha berterusan bagi meningkatkan penggunaan gas asli di Sarawak selaras dengan Sarawak Gas Roadmap (SGR),” tambahnya.
Menurutnya, pelan SGR ini merangkumi empat hab strategik iaitu di Miri, Samalaju, Bintulu dan Kuching melalui beberapa inisiatif seperti Projek 500 MW Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) di Miri yang kini mencapai 45 peratus kemajuan fizikal dijangka beroperasi secara komersial pada suku keempat tahun 2027.
“Apabila beroperasi nanti, loji ini akan menggunakan gas asli kira-kira 75 sehingga 80 juta kaki padu piawai sehari (MMscfd), katanya.
Katanya, projek ini turut mengutamakan rakyat tempatan dengan kira-kira 253 pekerja adalah anak jati Sarawak.
