KUCHING: Kerajaan Sarawak berharap isu persempadanan dan kajian semula sempadan pilihan raya di negeri ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, meskipun urusan itu adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerajaan kekal berharap agar kajian persempadanan tersebut dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Isu ini perlu mengambil kira keperluan terhadap perwakilan yang adil dan berkesan untuk rakyat Sarawak, khususnya di luar bandar,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan terus memperjuangkan pelaksanaan segera kajian persempadanan semula kerusi pilihan raya di negeri ini bagi memastikan perwakilan rakyat lebih adil dan selaras dengan realiti geografi serta keperluan pembangunan semasa.
“Dalam hal ini, Kerajaan Sarawak secara konsisten menyuarakan pendirian dan aspirasi kepada Kerajaan Persekutuan mengenai kepentingan mempercepatkan pelaksanaannya bagi Sarawak.
“Ini termasuk menerusi platform perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Menurut John Sikie, cadangan penambahan kerusi pilihan raya di Sarawak sebelum ini sering dibangkitkan susulan keluasan negeri, pertumbuhan penduduk serta cabaran penyampaian perkhidmatan di kawasan pedalaman yang memerlukan perwakilan lebih menyeluruh.
Bagaimanapun, John Sikie mengakui tempoh pelaksanaan kajian tersebut tertakluk kepada proses perlembagaan serta garis masa yang ditetapkan oleh SPR.
