KUCHING: Syarikat penerbangan tempatan, AirBorneo, bersedia melebarkan sayap dengan merancang menyewa tiga pesawat Boeing 737-800, kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Menurutnya, langkah itu bagi membuka laluan baharu yang menghubungkan Kuching ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Jakarta dan Singapura.
Beliau berkata, sebelum pesawat tersebut dapat beroperasi, AirBorneo perlu melengkapkan pelbagai proses kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Sekiranya semua urusan berjalan lancar, penerbangan dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini iaitu antara Julai hingga September,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
AirBorneo kata Lee, turut menyokong usaha menghidupkan semula laluan domestik penting di Sarawak.
“Kementerian telah memohon kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia agar laluan Kuching–Sibu, Kuching–Bintulu dan Kuching–Miri dikembalikan di bawah Skim Kewajipan Perkhidmatan Awam (PSO),” katanya.
Menurutnya, laluan tersebut dihentikan sejak 2019. Sekiranya diluluskan, AirBorneo dijangka mengambil alih operasi bagi menambah pilihan penerbangan dalam negeri.
Beliau berkata, langkah ini dilihat penting dalam memperkukuh ketersambungan di Sarawak, khususnya bagi penduduk luar bandar serta menyokong perkembangan perniagaan tempatan.
