KUCHING: Sarawak mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi hidrogen serantau menerusi penganjuran Persidangan Hidrogen Hijau Asia-Pasifik yang bakal berlangsung dari 9 hingga 11 Jun depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, persidangan berkenaan menjadi platform strategik untuk memperluaskan kerjasama antarabangsa dalam membangunkan ekosistem hidrogen yang mampan, berdaya tahan dan berimpak tinggi kepada ekonomi masa depan.
“Ia mencerminkan komitmen bersama kita dalam memacu sempadan baharu tenaga yang bukan sahaja mampan, malah mampu menyokong daya tahan ekonomi serta kemakmuran jangka panjang,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Hidrogen Hijau Asia-Pasifik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, seramai 28 penceramah antarabangsa dan serantau mengesahkan penyertaan, dengan jumlah itu dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat.
Tambah beliau, Sarawak bukan sekadar mahu mengambil bahagian dalam industri hidrogen global yang sedang berkembang pesat, malah berhasrat muncul sebagai peneraju utama pembangunan ekonomi hidrogen di rantau Asia-Pasifik.
Sehubungan itu katanya, pembangunan ekonomi hidrogen memerlukan kerjasama serantau dan antarabangsa yang kukuh khususnya dalam aspek penyelarasan regulatori, pembangunan teknologi, pelaburan strategik serta pematuhan piawaian keselamatan.
