DALAT: Guru khususnya di luar bandar merupakan mentor, kaunselor serta penggerak sokongan komuniti bagi memastikan kelangsungan pendidikan di kawasan berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, golongan itu menunjukkan komitmen tinggi meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan logistik dan infrastruktur.
Menurutnya, guru-guru di kawasan tersebut tetap gigih menjalankan tanggungjawab dalam memastikan akses pendidikan tidak terjejas.
“Ini termasuk kebergantungan kepada set penjana kuasa serta kemudahan infrastruktur yang terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap
merasmikan program Hari Guru dan Raya-Gawai di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina San San, di sini, hari ini.
Katanya, sekolah luar bandar memerlukan kepimpinan stabil bagi memastikan pengurusan dan penyampaian pendidikan berjalan dengan lebih berkesan.
“Cabaran operasi yang unik termasuk kekangan kakitangan dan keterbatasan infrastruktur menjadikan kesinambungan kepimpinan sekolah satu aspek penting,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan terdapat sebuah sekolah yang beroperasi selama lima tahun tanpa guru besar tetap.
“Keadaan ini menekankan kepentingan kesinambungan kepimpinan serta pentadbiran yang kukuh di institusi pendidikan luar bandar, khususnya dalam memastikan hala tuju sekolah dapat dirancang dengan lebih berkesan.
“Sepanjang tempoh kekosongan tersebut, sekolah berkenaan terpaksa bergantung kepada pemangku guru besar untuk mengurus operasi harian, satu tanggungjawab yang memerlukan komitmen tinggi,” tambahnya.
Dalam majlis sama, beliau turut meluluskan permohonan sekolah berkenaan berjumlah RM27,000 untuk menambah baik infrastruktur dan aktiviti sekolah.
