BINTULU: Pembangunan pesat yang dikecapi bahagian ini hari ini hasil kestabilan politik, perpaduan masyarakat serta kerjasama erat pelbagai kaum, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, ia menjadi asas kemajuan kawasan itu sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Tambah beliau, semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat amat penting dalam memastikan agenda pembangunan serta transformasi ekonomi Bintulu dilaksanakan dengan lancar.
“Antara agenda pembangunan ialah cadangan melibatkan laluan Kidurong hingga Samalaju. Ia bakal menjadikan Bintulu sebagai bandar pertama di Sarawak menggunakan sistem kereta api,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Masyarakat sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Bintulu 2026 di sini, malam tadi.
Abang Johari menjelaskan, projek tersebut merupakan sebahagian perancangan jangka panjang pembangunan Bintulu yang turut diselaraskan dengan cadangan rangkaian Pan Railway Borneo pada masa hadapan.
“Saya sudah berunding dengan Kerajaan Persekutuan dan kita mula merancang Pan Railway Bintulu dari Kidurong hingga Samalaju.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Kerajaan Pusat dan jika tidak dapat dibiayai sepenuhnya, kita akan laksanakan melalui kaedah usaha sama.
“Jadi Bintulu akan menjadi bandar pertama di Sarawak yang mempunyai kereta api dan ini akan menjadi sebahagian daripada Pan Railway dalam Borneo,” katanya.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu jemputan lain.
