TYT serta isteri selamat tiba di tanah air selepas menunaikan ibadah haji

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) petang tadi selepas menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah.

Ketibaan mereka disambut barisan kepimpinan negeri dan kenamaan yang hadir bagi menyatakan rasa syukur atas kepulangan beliau berdua setelah menunaikan rukun Islam kelima.

Antara yang hadir menyambut ketibaan ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, ketua jabatan kerajaan dan dif-dif kenamaan lain.

Sejurus tiba, satu majlis ringkas diadakan yang dimulakan dengan bacaan doa selamat dipimpin oleh Timbalan Imam Besar Sarawak, Mohd Ihsan Haidzir sebagai tanda kesyukuran atas kelancaran perjalanan dan ibadah yang dilaksanakan di tanah suci.

Tun Pehin Sri dan Toh Puan menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kesempatan yang diberikan untuk menunaikan ibadah haji serta merakamkan penghargaan kepada kepimpinan negeri, pegawai kerajaan dan semua pihak yang hadir menyambut kepulangan mereka.

Dalam kesempatan tersebut, beliau berdua turut mendoakan agar Sarawak dan rakyat dilimpahi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan.