Integriti panduan menilai kesahihan maklumat

KUCHING: Era digital yang mempercepatkan penyebaran maklumat kini menimbulkan cabaran baharu kepada masyarakat, khususnya melibatkan ketepatan fakta, manipulasi persepsi dan kecenderungan membuat kesimpulan segera tanpa semakan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perkembangan landskap komunikasi hari ini menuntut masyarakat lebih berwaspada dalam menilai setiap maklumat yang diterima.

“Pengaruh media sosial yang kuat menyebabkan ramai mudah terdedah kepada maklumat tidak sahih serta cenderung membentuk persepsi awal tanpa pengesahan fakta.

“Keadaan itu boleh membawa kepada tindakan berasaskan emosi sehingga mencetuskan salah faham dan penilaian tidak seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku Integriti di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak yang turut disempurnakan bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Fatimah menegaskan, integriti penting sebagai panduan dalam menilai kesahihan maklumat serta membuat keputusan yang lebih bertanggungjawab.

Beliau turut menekankan bahawa pembentukan nilai integriti perlu bermula dari institusi keluarga melalui didikan awal yang konsisten.