“Alhamdulillah, jenazah anak saya dapat dikebumi di Sarawak,” – bapa Nurhaslinda

KUCHING: “Alhamdulillah, doa kami dimakbulkan. Jenazah anak saya akan dibawa balik untuk dikebumikan di sini,” luah Abdullah Mat, 64, bapa kepada Nurhaslinda Abdullah, 30, yang meninggal dunia di Korea Selatan Isnin lalu.

Menurut Abdullah, dia amat terharu apabila menerima panggilan pegawai Kedutaan Malaysia di Seoul, Korea Selatan hari ini yang memaklumkan jenazah anaknya akan dibawa balik ke Malaysia 4 Januari 2024.

“Kami sekeluarga terpaksa reda jika anak saya dikebumikan di negara itu berikutan kekangan kewangan untuk membawa jenazah balik ke Sarawak.

“Bagaimanapun, sebaik menerima panggilan daripada pegawai kedutaan, doa kami dimakbulkan dan rezeki anak saya balik ke sini,” katanya menambah jenazah allahyarhamah bakal dikebumikan di Kampung Sejingkat, di sini.

Abdullah berkata demikian selepas melakukan sidang video bersama-sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Santubong, di sini hari ini.

Abdullah menambah, Nurhaslinda yang bekerja di Korea Selatan sejak September lalu pernah menjalani pembedahan akibat jantung berlubang kira-kira 10 tahun lalu.

“Allahyarhamah pernah mengadu dengan abangnya, Abdul Hafiz Abdullah, 35, mengenai keadaan kesihatannya sebelum dimaklumkan meninggal dunia Isnin lalu,” katanya.

Sementara itu Abdul Hafiz menghargai bantuan yang dihulurkan oleh orang ramai untuk membawa balik jenazah adik perempuannya kembali ke Sarawak dan sumbangan terkumpul setakat ini mencecah RM50,000.

Menurut Nancy, pihaknya telah menyalurkan sumbangan awal berjumlah RM31,082.25 kepada Wisma Putra bagi mempercepatkan proses pembayaran kos hospital, pengurusan jenazah dan pengebumian jenazah Nurhaslinda di Hospital Cheonju, Seoul Korea Selatan.

“Kami telah menyalurkan sumbangan bagi membolehkan jenzah dikebumikan segera selepas keluarganya bersetuju untuk dikebumikan di sana kerana kita tidak mahu jenazahnya disimpan terlalu lama dalam bilik sejuk.

“Dalam pada itu, jika terlalu lama di sana juga kos pengebumian akan meningkat.

“Namun, sebaik dimaklumkan jenazah akan dibawa balik, saya bersyukur, terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di sana terutamanya pegawai Bahagian Konsular Wisma Putra, Arsi Shah Erwan dan Setiausaha kedua Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, Sofiah Othman,” katanya