KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi terus konsisten membangkitkan isu pendidikan di Parlimen sebagai sebahagian daripada komitmen memperjuangkan hak dan peluang untuk anak-anak Sarawak.
Beliau mengemukakan kebimbangan 71 calon guru simpanan Sarawak kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi penyerahan surat kepada Menteri Pendidikan melalui Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Calon-calon berkenaan telah menghadiri sesi temu duga antara April hingga Mei 2025 dan masih menunggu keputusan penempatan meskipun hampir setahun disenaraikan sebagai calon guru simpanan, sedangkan tempoh status mereka akan berakhir pada 29 Julai depan.
Dalam pertemuan itu, Wong memaklumkan bahawa lebih 2,000 daripada 4,000 calon guru simpanan di seluruh negara dijangka menerima tawaran dalam masa terdekat.
Menurut Ahmad Johnie, Timbalan Menteri berkenaan berjanji akan memberi maklum balas kepada beliau esok berhubung kedudukan 71 orang calon guru simpanan seperti yang tersenarai dalam surat kepada Menteri Pendidikan.
Ahmad Johnie sehubungan itu, berharap KPM dapat memberi pertimbangan sewajarnya kepada calon guru simpanan dari Sarawak selaras dengan keperluan pendidikan di negeri ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Wong atas maklumat dan kerjasama yang diberikan serta berharap perkembangan positif dapat dicapai demi masa depan calon-calon guru berkenaan dan sektor pendidikan negara.
