KUCHING: Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 akan berlangsung di Bahagian Samarahan bermula 10 hingga 16 Ogos ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjur mensasarkan sejumlah 7,000 pengunjung.
“Kita menyasarkan pengunjung melibatkan pelajar IPTA dan IPTS, pertubuhan belia, pekerja sektor awam dan swasta serta orang awam.
“Bertemakan “Belia Aspirasi Kita” program tahunan Peringkat Sarawak bertujuan meraikan semangat generasi muda dan pemimpin masa depan negeri khasnya Sarawak,”katanya semasa sidang media penganjuran program berkenaan di Bangunan Baitulmakmur. II di sini hari ini.
Tambah Karim, majlis perasmian dijadual pada 15 Ogos depan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Suarah Samarahan.
Antara pengisian program ialah Youth Champion, Youth Active dan Youth Marketplace.
Selain itu bengkel sukan tempur, sesi kesihatan mental, e-sukan, pertandingan aerobathon, larian warisan, persembahan bakat serta Konsert Belia Sarawak.
Beliau menjelaskan, sebanyak 30 gerai usahawan belia disediakan menerusi Youth Marketplace bagi mempromosikan produk tempatan seperti makanan, minuman, pakaian, barangan perhiasan dan hasil pertanian.
Manakala, acara kemuncak adalah majlis penyampaian Anugerah Belia Sarawak bagi kategori Tokoh Belia Lelaki dan Wanita, selain anugerah persatuan belia.
Pemenang Tokoh Belia Lelaki dan Wanita masing-masing akan menerima wang tunai RM5,000, manakala juara persatuan belia menerima RM10,000.
Penganjuran itu juga akan melibatkan pameran dan kaunter agensi kerajaan bagi memberi maklumat mengenai perkhidmatan, peluang pekerjaan serta program pembangunan di Samarahan.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) , Morshidi Fredrick dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Dzulkornain Masron.
