SELANGAU: Penyediaan jalan akses baharu yang menghubungkan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dengan Pekan Selangau membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak memperkukuhkam jaringan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek sepanjang 450 meter (m) itu siap pada Mei lalu itu memudahkan pergerakan harian penduduk, meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke projek tersebut hari ini, yang merupakan lokasi pertama dalam siri lawatan beliau ke beberapa projek pembangunan di Bahagian Sibu.
Menurut beliau, walaupun jalan akses itu hanya sepanjang 450m, impaknya amat besar kerana menyediakan laluan yang lebih lancar dan selamat antara Lebuh Raya Pan Borneo dengan Pekan Selangau.
Katanya, kemudahan itu akan memudahkan urusan harian penduduk selain membantu mempercepat pergerakan kenderaan ke pusat bandar dan kawasan sekitarnya.
Dalam lawatan itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris turut menyampaikan taklimat mengenai pelaksanaan projek, termasuk skop pembinaan serta manfaat yang bakal dinikmati masyarakat.
Uggah turut merakamkan penghargaan kepada JKR Sarawak atas komitmen menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual sehingga dapat dimanfaatkan oleh penduduk.
Beliau menegaskan kerajaan Sarawak akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur berkualiti sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, selain memastikan rakyat menikmati kemudahan perhubungan yang lebih selesa, selamat dan cekap.
