KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan atau pengetahuan mengenai dakwaan cubaan pendedahan maklumat yang melibatkan seorang bekas pengurus Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, PETROS memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum mengenai laporan media berhubung prosiding mahkamah yang melibatkan bekas kakitangan PETRONAS itu atas dakwaan cuba menghantar maklumat kepada syarikat minyak dan gas milik Kerajaan Sarawak tersebut melalui e-mel.
“PETROS sama sekali tidak mempunyai sebarang pengetahuan atau penglibatan berhubung dakwaan cubaan pendedahan maklumat tersebut.
“Kami menggesa orang ramai dan pihak media supaya berhati-hati serta mengelakkan daripada menerbitkan atau menyebarkan sebarang kenyataan atau dakwaan berunsur fitnah terhadap PETROS atau pegawai-pegawainya yang timbul daripada perkara ini.
“PETROS menghormati proses perundangan dan tidak akan campur tangan dalam prosiding yang sedang berlangsung. Syarikat akan mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi kakitangan serta kepentingannya,” menurut kenyataan itu.
