Kerajaan Sarawak lulus secara prinsip bina veladrom baharu

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan pembinaan  veladrom baharu secara prinsip menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Jelasnya, veladrom tersebut akan dibangunkan berhampiran Kompleks Sukan Sarawak.

“Ia sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang memperkukuhkan infrastruktur sukan negeri.

“Tapak projek telah dikenal pasti dan kini berada pada peringkat perancangan serta pelaksanaan,” katanya semasa sidang media Samarahan Bike Challange 2026 di Baitulmal II di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim, kawasan berkenaan sebelum ini merupakan tanah di bawah bidang kuasa Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang asalnya diperuntukkan bagi pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

Bagaimanapun, rancangan pemindahan itu tidak diteruskan selepas pihak Polis Diraja Malaysia memutuskan untuk kekal di lokasi sedia ada.

Katanya, seluas 68 ekar tanah diperuntukkan untuk tujuan tersebut menerusi perjanjian pertukaran tanah antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Justeru, sekiranya tanah berkenaan tidak digunakan mengikut tujuan asal, kerajaan negeri berhak mengambil semula bagi pembangunan awam, katanya.

“Kawasan itu kini memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk membangunkan pelbagai kemudahan sukan dalam satu kawasan bersepadu, termasuk velodrom, padang ragbi dan kawasan latihan golf,” katanya.

Manakala, bagi kos pembinaan velodrom, dianggarkan mencecah antara RM300 juta hingga RM400 juta, namun jumlah sebenar hanya akan dimuktamadkan selepas proses penilaian selesai.