Jambatan, jalan pedalaman saling melengkapi demi kesejahteraan rakyat

KUCHING: Pandangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa keperluan pembangunan kawasan pesisir dan jaringan jalan strategik pedalaman adalah sama penting demi memastikan pembangunan Sarawak seimbang dan inklusif.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pandangan tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan infrastruktur memberi manfaat kepada rakyat mengikut keperluan setiap kawasan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) menghargai usaha Kerajaan Sarawak yang telah mengambil inisiatif meneruskan pembinaan Jamabatan Batang Lupar 1, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Batang Rambungan, menggunakan pembiayaan negeri demi memastikan keperluan rakyat terus dipenuhi, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas kenyataan yang dibangkitkan berhubung jawapan bertulis KKR mengenai Projek Jambatan Batang Lupar 1, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Batang Rambungan.

Alexander Nanta menegaskan bahawa jawapan bertulis KKR adalah berdasarkan rekod pentadbiran rasmi Kerajaan Persekutuan berkaitan status projek-projek berkenaan pada ketika itu.

Seperti yang dinyatakan, katanya, ketiga-tiga projek jambatan tersebut telah diluluskan di bawah Rancangan Boleh Pinda Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebelum pelaksanaannya ditangguhkan.

Projek berkenaan kemudia dibatalkan susulan perubahan dasar serta penilaian semula projek oleh Kerajaan Persekutuan ketika itu.

Dalam tempoh yang sama, Projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 1 (SSLR1) diperkenalkan sebagai salah satu projek strategik Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan hubungan darat antara Sarawak dan Sabah tanpa melalui Brunei serta membuka potensi pembangunan kawasan pedalaman, katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, adalah penting untuk difahami bahawa projek SSLR1 dan tiga projek jambatan pesisir tersebut bukan projek yang sama serta tidak mempunyai tujuan pembangunan yang serupa.

“SSLR1 memberi tumpuan kepada pembangunan koridor jalan strategik yang menghubungkan Sarawak dan Sabah serta membuka akses ke kawasan pedalaman di bahagian utara Sarawak.

“Manakala, Jambatan Batang Lupar 1, Batang Igan dan Batang Rambungan yang terletak di sepanjang kawasan pesisir barat hingga tengah Sarawak, merupakan infrastruktur yang memberi manfaat kepada masyarakat, tegas beliau.

Justeru, beliau berkata, kedua-dua inisiatif tersebut sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain dan tidak wajar dilihat sebagai projek yang bersaing atau boleh menggantikan fungsi masing-masing.

Atas sebab itu juga, menggunakan istilah ‘menggantikan’ projek jambatan dengan SSLR1 adalah tidak tepat sama sekali kerana kedua-dua projek ini menyasarkan lokaliti dan keperluan pembangunan berbeza dan perlu difahami dalam konteks yang tepat, tegas beliau.

Pada masa sama, katanya, Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP) yang dipersetujui melalui Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) juga merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan Sarawak yang lebih menyeluruh dan inklusif.

Katanya, ia memberi tumpuan kepada pengukuhan jaringan perhubungan strategik, pembukaan akses ke kawasan pedalaman serta merangsang pembangunan pertumbuhan ekonomi wilayah.