Belia perlu jadikan pengalaman pemimpin sedia ada sebagai teladan

KUCHING: Pembangunan kepimpinan belia penting bagi melahirkan pelapis berwibawa untuk memikul tanggungjawab lebih besar pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata, usaha melahirkan pemimpin muda tidak seharusnya tertumpu pada peringkat cawangan atau negeri sahaja, sebaliknya perlu diperluas sehingga ke peringkat nasional.

Menurutnya, pemimpin masa kini bertanggungjawab menyediakan ruang dan peluang kepada generasi muda untuk mengembangkan potensi serta mempersiapkan diri bagi memikul amanah lebih besar.

“Kita mahu melihat lebih ramai pemimpin tempatan berpeluang menyandang jawatan penting.

“Ini termasuk sebagai Ahli Parlimen dan menteri dalam Kabinet Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Belia Satok 2026 di Dewan Anak Seni, Kampung Bandarshah, di sini, malam ini.

Pada masa sama, Ibrahim berkata, pengalaman serta ketokohan pemimpin sedia ada wajar dijadikan contoh dalam membentuk generasi kepimpinan yang berkebolehan.

Jelasnya, pembangunan kepimpinan secara berterusan penting bagi memastikan golongan belia mampu memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat, negeri dan negara.