KUCHING: Sarawak memperkenalkan Liga Safari Rakit Borneo sebagai platform menyatukan perlumbaan rakit buluh tradisional dengan matlamat menjadikannya produk eko-pelancongan bertaraf antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, liga itu memperkenalkan piawaian seragam dari segi pengurusan, pemarkahan, keselamatan dan pendaftaran, manakala pasukan akan mengumpul mata sepanjang musim untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
“Empat acara disenaraikan ialah Mulu Eco Challenge (29 Mac), Selangau Raft Safari (26 Julai), Mukah Raft Safari (22 Ogos) dan Padawan Raft Safari (4 Oktober).
“Selangau Raft Safari mencatat rekod penyertaan tertinggi dengan 172 peserta mewakili 43 pasukan,”katanya ketika sidang mengenai Padawan Raft Safari di pejabatnya di Baitulmakmur II, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, Padawan Raft Safari turut memperkenalkan Bamboo Raft Experience Day pada 3 Oktober bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman berakit.
Abdul Karim berkata, kerajaan negeri juga bercadang memperluaskan perlumbaan itu ke Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan.
Langkah tersebut jelasnya bagi memperkukuh kerjasama pelancongan serantau, sambil mengingatkan semua penganjur supaya mengutamakan aspek keselamatan sepanjang penganjuran acara.
