Pengamal undang-undang, rakyat Sarawak perlu fahami MA63

SIBU: Kerajaan Sarawak mencadangkan fakulti undang-undang di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) memberi penekanan terhadap pengajian Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu amat penting supaya lebih ramai pengamal undang-undang memahami asas perjanjian tersebut.

“Kalau tidak tahu kandungan MA63, bagaimana hendak mempertahankan hak Sarawak?,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Town Hall Hari Sarawak 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, UTS, di sini, petang tadi.

Pada masa sama, Abang Johari mahu rakyat Sarawak khususnya anak muda, perlu mengetahui setiap peruntukan dalam MA63 bagi memastikan hak negeri dapat dipertahankan berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Turut hadir ialah tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.