SIBU: Hari Sarawak 2026 menyaksikan dua pencapaian bersejarah apabila PETROS memulakan pengeluaran minyak daratan dan AirBorneo melakar penerbangan antarabangsa sulung.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sambutan Hari Sarawak 2026 di Sibu menyaksikan pengumuman dua hadiah istimewa kepada rakyat Sarawak yang disifatkan sebagai pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi negeri menerusi sektor tenaga dan penerbangan.
“PETROS, syarikat minyak dan gas milik Sarawak memulakan pengeluaran minyak pertamanya di medan Adong Kechil West (AKW) berhampiran Marudi dengan kapasiti 800 tong sehari manakala AirBorneo juga hari ini melaksanakan penerbangan antarabangsa sulung dari Kuching ke Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Perhimpunan Sambutan Hari Sarawak 2026, di sini, malam ini.
Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi
Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi merasmikan majlis tersebut.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol dan menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan, timbalan-timbalan menteri serta tetamu kenamaan lain.
Abang Johari berkata, kejayaan PETROS itu mengembalikan pengeluaran minyak daratan Sarawak selepas lebih lima dekad sekali gus membuka laluan kepada pembangunan industri hiliran seperti ammonia dan hidrogen biru yang diterajui anak Sarawak sendiri.
Menurut beliau, AirBorneo pula bukan sekadar membuka laluan baharu, malah menjadi simbol era baharu sistem perhubungan udara Sarawak yang dijangka merangsang perdagangan, pelancongan serta menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
Abang Johari berkata, Sarawak kini berada pada landasan tepat untuk muncul sebagai ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu inovasi, teknologi, tenaga bersih dan industri bernilai tinggi menerusi pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Kita tidak mahu lagi hanya dikenali sebagai negeri yang kaya dengan sumber semula jadi sebaliknya menjadi wilayah yang mencipta nilai melalui penyelidikan, inovasi, teknologi dan bakat tempatan,” tambahnya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan Bank Dunia mengiktiraf Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi selama empat tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2025 dengan Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita mencecah kira-kira RM70,500 pada tahun lalu.
Beliau berkata, Sarawak juga sedang membina kedudukan sebagai hab tenaga hijau Malaysia dan ASEAN menerusi pembangunan tenaga hidro, hidrogen, gas asli serta industri rendah karbon yang mampu menarik pelaburan global.
Tambahnya, pengiktirafan Forum Ekonomi Dunia (WEF) terhadap Kluster Peralihan Industri Bintulu (TIC) sebagai antara kluster peralihan industri global membuktikan Sarawak semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa sebagai destinasi industri masa depan.
Mengakhiri amanatnya, Abang Johari menggesa seluruh rakyat Sarawak meneruskan semangat keberanian dan perpaduan sempena Hari Sarawak bagi memastikan negeri ini terus muncul sebagai kuasa ekonomi baharu yang menyumbang kepada kemajuan Malaysia dan rantau ASEAN.
