SPAOH: Seramai 48 wanita Ranting Paku Tengah menyertai Bengkel Kraftangan Pembuatan Baju Ujan (Ngepan Batang Rajang) anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban di Rumah James Meling, Tanjong Baru, di sini.
Program itu merupakan inisiatif Ketua Wanita Parti PBB Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah, bagi meningkatkan kemahiran wanita dalam menghasilkan baju ujan.
“Program itu bagi memelihara warisan budaya masyarakat Iban serta membuka peluang menjana pendapatan melalui kraftangan tradisional,” katanya.
Natasha berkata, bengkel berkenaan menjadi platform penting untuk memastikan seni pembuatan Baju Ujan terus diwarisi oleh generasi muda.
Menurut beliau, program itu bukan sahaja memberi pendedahan mengenai teknik pembuatan busana tradisional, malah meningkatkan keyakinan peserta untuk menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial.
Sepanjang bengkel, peserta dibimbing tenaga pengajar berpengalaman, Rowena Chinda Gerinsam yang berkongsi kaedah penyediaan bahan, teknik sulaman serta kemasan bagi menghasilkan busana tradisional yang berkualiti dan mengekalkan keaslian reka bentuknya.
