KUCHING: Pelancaran penerbangan pertama antarabangsa AirBorneo mencerminkan komitmen AirBorneo Airways untuk mengukuhkah kesalinghubungan, memperluaskan peluang dan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang Sarawak.
Pengerusi AirBorneo, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, Singapura adalah pintu masuk wilayah yang sangat penting.
Laluan baharu itu akan mengukuhkan sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan menghubungkan rakyat Sarawak dan Singapura, katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran pertama laluan antarabangsa AirBorneo dari sini ke Singapura, semalam.
Beliau berkata, laluan pertama antarabangsa itu lebih membanggakan apabila Sarawak menyambut Hari Sarawak 2026 semalam.
Penerbangan antarabangsa AirBorneo ialah dari Lapangan Antarabangsa Kuching (KIA) ke Lapangan Antabangsa Changi Terminal 4.
Kejayaan melancarkan penerbangan antarabangsa pertama itu mencerminkan pertumbuhan berterusan Sarawak dan meletakkan negeri ini sebagai pintu masuk dinamik ke wilayah ini, katanya yang juga Setiausaha Kerajaan Sarawak.
Penerbangan MY363 berlepas dari Kuching pada pukul 6.50 petang dan tiba di Singapura pada pukul 8.04 malam pada 22 Julai 2026, 21 minit mendahului jadual.
Penerbangan balik MY364, berlepas dari Singapura pada pukul 9.27 malam dan tiba di Kuching pada 10.36 malam, 14 minit mendahului jadual.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin pula berkata, pelancaran pertama AirBorneo ke laluan antarabangsa menandakan kejayaan AirBorneo dalam pertumbuhan seterusnya.
AirBorneo mengadakan penerbangan setiap hari antara Kuching dan Singapura. Tiket bagi laluan Kuching-Singapura kini boleh dibeli melalui lamansesawang AirBorneo dan mobile app.
