Anjung Ngaji pemangkin pembangunan insan, dalami ilmu agama

SADONG JAYA: Sebanyak 228 Anjung Ngaji diwujudkan di seluruh Sarawak sehingga kini.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata inisiatif ini membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat, khususnya di luar bandar untuk mempelajari Al-Quran dengan bimbingan guru yang berkelayakan.

“Usaha seperti ini wajar kita sokong dan terus diperkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Tahsin Qiraat Al-Quran Perdana sempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Zon Selatan di Dewan SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud, di sini, hari ini.

Rodiyah berkata, Sarawak semakin pesat membangun dan banyak pembangunan telah dan sedang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

“Namun dalam kita membina jalan raya, jambatan dan pelbagai kemudahan untuk
rakyat, kita juga mesti membina insan yang berilmu, berintegriti dan berakhlak mulia.

“Saya percaya pembangunan sesebuah masyarakat bukan hanya diukur melalui
kemajuan fizikal dan ekonomi semata-mata. Pembangunan rohani, akhlak dan nilai
murni juga sama penting.


Inilah asas kepada hasrat membina Sarawak yang Maju dan Makmur, iaitu sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan, tetapi juga
melahirkan rakyat yang berilmu, berakhlak dan berpegang teguh kepada ajaran agama,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana-Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS) Mohamad Shalahudin Marzuki, Ketua Penyelia atau Guru Al-Quran di Majlis Islam Sarawak (GAQMIS DHQc-MIS) Dato Ismawi Duet dan Pengetua SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud, Julia
Kana.