KUCHING: Orang ramai di Sarawak diminta terus berwaspada dan mematuhi nasihat pihak berkuasa susulan keadaan jerebu yang melanda negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jerebu itu dipercayai dipengaruhi fenomena El Niño, namun dijangka hanya bersifat sementara.
“Buat masa ini, jerebu tidaklah seteruk seperti dahulu.
“Saya fikir keadaan ini hanya sementara,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Regency Specialist Hospital Kuching milik HMI Medical di Northbank, di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, orang ramai perlu merujuk maklumat rasmi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan mematuhi panduan berdasarkan tahap kualiti udara semasa.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak memaklumkan, kementeriannya akan bekerjasama dengan JPBNS bagi menyelaras tindakan melibatkan aspek kesihatan, pendidikan dan agensi berkaitan.
