SIBU: Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di sini, berterusan susulan kerosakan injap penghantaran di Loji Rawatan Air Salim.
Sarawak Water memaklumkan kerja pembaikan saluran paip utama berdiameter 1,000 milimeter (mm) berhampiran Lorong Kiew Nang 1 selesai awal pagi tadi.
“Injap penghantaran berdiameter 600mm di Loji Rawatan Air Salim mengalami kerosakan tidak dijangka dan kerja pembaikan sedang dijalankan.
“Proses pembaikan dijangka siap antara jam 1.00 tengah hari hingga 3.00 petang hari ini,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Sarawak Water, bekalan air tidak akan kembali normal serta-merta selepas kerja pembaikan selesai kerana sistem agihan memerlukan masa untuk diisi semula dan tekanan air dibina secara beransur-ansur.
Pemulihan bekalan dilakukan secara berperingkat dengan sesetengah kawasan menerima bekalan lebih awal bergantung kepada kedudukan dalam sistem agihan.
“Kira-kira 15,000 akaun pengguna dijangka masih mengalami gangguan bekalan air sementara atau tekanan air rendah,” tambahnya.
Antara kawasan terjejas ialah Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu Jaya, Jalan Durin Link, Jalan Satria, Taman Kemuyang, Kem Rascom serta kawasan sekitar.
Sarawak Water turut mengerahkan lori tangki air ke kawasan terjejas bagi menyediakan bekalan sementara.
Sehubungan itu, pengguna yang menerima air berwarna dinasihatkan membiarkan paip mengalir sehingga air kembali jernih sebelum digunakan.
