SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, turun padang melawat mangsa kebakaran di Kampung Tengah, di sini, hari ini.
Kunjungan itu bertujuan melihat keadaan mangsa serta menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
Kebakaran yang berlaku pada petang semalam melibatkan sebuah rumah dua tingkat milik Limah Awang Bakri.
Bagaimanapun, kejadian berkenaan tidak mengakibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan.
Kebakaran hanya melibatkan bahagian siling dapur.
Dayang Noorazah yang meninjau keadaan kediaman itu berharap bantuan yang disalurkan sekurang-kurangnya meringankan beban keluarga berkenaan.
Turut membantu ialah Baitulmal Bahagian Sri Aman dan Pemuda Persatuan Che Chuan Kor Simanggang yang menyumbangkan bakul makanan kepada keluarga terjejas.
Dayang Noorazah merakamkan penghargaan kepada JBPM Sri Aman, PDRM, penduduk kampung serta semua pihak yang bertindak pantas membantu ketika kejadian.
