Big Bad Wolf Books kembali ke Kuching, pelbagai hadiah menarik ditawarkan

KUCHING: Big Bad Wolf Books kembali ke Kuching menerusi penganjuran pesta buku selama 11 hari bermula 25 Ogos hingga 6 September depan di pusat beli-belah Boulevard.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam Big Bad Wolf Books, Chloe Lim berkata, penganjuran kali ini bertepatan dengan usaha Kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris.

“Jutaan judul buku bahasa Inggeris ditawarkan pada harga berpatutan kepada keluarga, pelajar dan pendidik pada pesta itu nanti.

“Kami berharap pesta buku itu dapat menggalakkan amalan membaca serta membuka akses kepada lebih banyak ilmu dan perspektif baharu,” katanya.

Chloe berkata demikian semasa majlis Pratonton Media Big Bad Wolf Books Kuching 2026 di Kafe Trevi, Saradise, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengunjung turut berpeluang memenangi jongkong emas seberat 10 gram serta hadiah keseluruhan sehingga RM20,000 menerusi kempen Belanja & Menang dan Kongsi & Menang.

“Bagi komuniti pendidikan, pelajar dan pendidik boleh menikmati diskaun lima peratus dengan pembelian minimum tiga buku.

“Manakala sekolah, pusat pembelajaran dan perpustakaan ditawarkan diskaun 10 peratus bagi pembelian RM1,000 hingga RM3,999 dan 12.5 peratus bagi pembelian RM4,000 ke atas,” ujarnya.

Selain itu, 50 pengunjung pertama setiap hari berpeluang menerima baucar tunai RM10 menerusi ganjaran Early Bird, tertakluk kepada terma dan syarat.