Jerebu: Hantar anak ke taska, tadika atas budi bicara ibu bapa

KUCHING: Kehadiran kanak-kanak ke tadika dan taska berikutan jerebu diserahkan kepada budi bicara ibu bapa, susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tadika dan taska masih boleh beroperasi apabila IPU mencecah 200 ke atas bagi membantu ibu bapa yang perlu bekerja.

“Bagaimanapun, pusat berkenaan perlu menyediakan persekitaran lebih selamat termasuk penggunaan penghawa dingin, penapis udara serta pematuhan SOP.

“Aktiviti luar hendaklah dihentikan, manakala kanak-kanak yang tidak sihat perlu berada di rumah dan menjalani saringan sebelum dibenarkan mengikuti semula pembelajaran,” katanya.

Fatimah berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan kementeriannya di sini, hari ini.

Tambahnya, ibu bapa turut memastikan anak-anak memakai pelitup muka.