Paip rosak Jalan Tun Jugah, proses pemulihan ambil masa dua hingga tiga hari

KUCHING: Penyeliaan tapak projek Transit Aliran Autonomi (ART) perlu dipertingkatkan bagi mengelak kerosakan utiliti berulang akibat kerja-kerja pemasangan cerucuk.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, paip yang dipindahkan ke jajaran baharu masih rosak akibat kerja-kerja cerucuk, dipercayai berpunca daripada kecuaian.

“Insiden paip MSCL berdiameter 840 milimeter (mm) pecah menyebabkan gangguan bekalan air.

“Selain itu, kotoran turut memasuki sistem paip dan memerlukan proses pembilasan sebelum tekanan air dipulihkan,” katanya kepada media selepas melawat lokasi paip pecah dan kerja baik pulih di Jalan Tun Jugah, di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water, Malseni Jamal.

Tegas Julaihi, Sarawak Metro, KUTS dan agensi berkaitan harus mengambil berat masalah yang timbul.

Agensi turut diarahkan menyediakan lori tangki secukupnya untuk membekalkan air terawat, manakala kontraktor dan perunding perlu mengenal pasti kedudukan paip, kabel elektrik serta telekomunikasi sebelum kerja memasang cerucuk.

Beliau berkata, kejadian sama pernah berlaku membabitkan paip 1,100 mm berhampiran pusat beli-belah.

Justeru, beliau tidak mahu kejadian berulang sehingga menjadi kebiasaan.

“Kerja-kerja kimpalan disasarkan siap jam 11 malam.

*Manakala proses pembilasan dan pemulihan tekanan sistem dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari,” ujarnya.

Tindakan menghentikan kerja katanya, boleh dipertimbangkan jika kecuaian berulang, meskipun ia berpotensi menjejaskan pelaksanaan ART.

“Keutamaan kita ialah melindungi kepentingan pengguna, dan saya harap ini menjadi insiden terakhir dan orang ramai bersabar sehingga bekalan dipulihkan,” katanya.