DEBAK: Projek naik taraf Jalan Ulu Rimbas di sini, dijangka memberi manfaat kepada penduduk di 13 rumah panjang apabila siap dalam tempoh 18 bulan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata projek sepanjang 20.23 kilometer (km) itu bernilai RM23.7 juta disasarkan siap dalam tempoh 18 bulan.
Menurutnya, projek itu dibiayai Kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) sebagai sebahagian usaha berterusan memperkukuh kemudahan infrastruktur di luar bandar.
Katanya, penambahbaikan jalan berkenaan bukan sahaja meningkatkan keselesaan perjalanan, malah memberi kesan langsung terhadap kegiatan ekonomi penduduk, khususnya dalam usaha membangunkan tanah serta mengangkut hasil pertanian.
“Apabila jalan ini dinaik taraf, ia akan memudahkan penduduk menjalankan aktiviti ekonomi, khususnya membangunkan tanah, selain memudahkan urusan ke hospital, sekolah dan bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Ulu Rimbas di sini, semalam.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, projek berkenaan turut melibatkan pembinaan laluan pusingan P baharu di Simpang Rimbas bagi memendekkan perjalanan penduduk.
Katanya, laluan pusingan P sedia ada terletak kira-kira enam kilometer dari kawasan berkenaan, sekali gus menyukarkan penduduk untuk menggunakannya dan memerlukan perjalanan yang lebih jauh.
“Jadi kita memutuskan bahawa pusingan P baharu perlu dibina dan akan menjadi sebahagian daripada pakej projek ini,” katanya.
