KUCHING: Sarawak menyasarkan pembentukan masyarakat yang celik dan mahir kecerdasan buatan (AI) khususnya dalam kalangan belia bagi memenuhi keperluan era digital.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, perkembangan pesat teknologi AI memerlukan masyarakat menguasai kemahiran berkaitan supaya tidak ketinggalan.
“Rakyat Sarawak, khususnya golongan belia kini menuju ke arah pembentukan masyarakat yang celik dan mahir AI,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Majlis Perasmian Borneo Makers Festival (BMF) AI For Makers, di sini, hari ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan festival berkenaan.
Program anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan kerjasama Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) itu merupakan kolaborasi pertama kedua-dua organisasi dalam bidang AI.
“Kolaborasi TEGAS dan SAIC fokus membangunkan Otak AI Sarawak dengan menyediakan ekosistem sokongan serta latihan bagi melatih anak tempatan mengendalikan teknologi AI secara mampan dan berdikari,” tambahnya.
Program itu turut merangkumi Bicara AI, forum, bengkel kemahiran dan peralatan AI, pameran serta pengalaman AI, selain pertandingan Pengaturcaraan AI dan Pertandingan Kreativiti AI yang melibatkan 20 pasukan dan 60 peserta.
Beliau menjelaskan, program ini disasarkan menarik lebih 5,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran.
Program itu menghimpunkan pelajar, pendidik, penuntut universiti dan kolej, agensi Kerajaan, usahawan, orang awam serta rakan-rakan strategik TEGAS, SAIC.
