SEBUYAU: Program Pemerkasaan Wanita menjadi wadah memperkukuhkan peranan golongan itu dalam komuniti, selain meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan serta insentif Kerajaan Sarawak.
Program berlangsung di Padang Futsal Kampung Sungai Ladong di sini, disemarakkan dengan aktiviti gotong-royong bagi membersihkan dan menceriakan kawasan sekitar dewan.
Aktiviti tersebut sekali gus memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta.
Peserta turut menyertai aktiviti senaman berkumpulan sebagai usaha menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta meningkatkan kecergasan fizikal.
Selain itu, mereka diberi pendedahan mengenai pelbagai insentif Kerajaan Sarawak menerusi taklimat yang disampaikan Bendahari Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.27 Sebuyau, Noorazua Julaihi mewakili Ketua Pergerakan Wanita Cawangan Sebuyau.
Taklimat itu memberi penerangan mengenai kemudahan dan bentuk bantuan yang disediakan kerajaan untuk dimanfaatkan masyarakat, khususnya golongan wanita.
Program diserikan dengan cabutan nama bertuah serta penyampaian cenderahati kepada pihak yang terlibat sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program.
Penganjuran program berkenaan diharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran wanita, di samping menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan.
Inisiatif seumpama itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan wanita dan masyarakat.
