SARATOK: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Krian memperkukuhkan gerak kerja dan jentera parti di peringkat akar umbi menerusi Program Santai Segulai Sejalai di Rumah Jebin Birai, Babang, Krian, semalam.
Program itu berlangsung dalam suasana mesra dan santai, selain menjadi wadah ahli Parti PBB tempatan mengeratkan silaturahim serta bertukar pandangan mengenai hala tuju parti.
Ketua Cawangan Parti PBB Krian merangkap Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Bell Bernard Aggan berkata, kesetiaan, perpaduan dan sokongan padu ahli akar umbi penting bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan masyarakat diberi keutamaan.
Beliau berkata, kekuatan jentera di peringkat akar umbi turut menjadi asas penting dalam memastikan hubungan antara parti dan masyarakat sentiasa kukuh.
Menurutnya, pendekatan berterusan bersama masyarakat membolehkan suara serta keperluan penduduk disampaikan secara langsung kepada kepimpinan parti.
Bell turut menghargai kepercayaan masyarakat tempatan yang terus memilih untuk menyertai Parti PBB, termasuk pertambahan keahlian baharu yang disifatkan sebagai perkembangan positif.
Katanya, peningkatan keahlian itu mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan dan perjuangan parti dalam membawa pembangunan serta kemajuan Sarawak.
“Parti PBB kekal sebagai tonggak utama dalam mengemudi pembangunan dan kemajuan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Program ini menjadi platform untuk bertemu dan beramah mesra bersama ahli-ahli Parti PBB di rumah panjang berkenaan serta kawasan sekitar, di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli parti.
Selain itu, program ini turut memberi ruang kepada ahli untuk berkongsi idea, pandangan dan cadangan berkaitan hala tuju Parti PBB, khususnya dalam usaha memperkukuh lagi parti di peringkat akar umbi.
