MUKAH: Cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya serta pertukaran nama beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu dilihat dari sudut memperkemaskan sistem perwakilan supaya lebih dekat dengan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, beliau menyambut baik perkembangan tersebut kerana ia mampu memenuhi keperluan pembangunan.
Katanya, penambahan 17 kerusi berkenaan wajar dilihat sebagai langkah menyesuaikan struktur perwakilan dengan perubahan demografi, pertambahan penduduk dan peningkatan jumlah pengundi di Sarawak.
“Bagi saya, perkara yang lebih penting bukan sekadar berapa banyak kerusi ditambah atau nama kawasan ditukar, tetapi bagaimana persempadanan baharu dapat menghasilkan pembahagian kawasan yang lebih munasabah, adil dan praktikal kepada rakyat,” katanya ketika mengulas persempadanan semula kawasan pilihan raya serta pertukaran nama beberapa kawasan DUN Sarawak.
Beliau berkata, perkembangan sistem pendaftaran pemilih secara automatik serta pelaksanaan Undi18 turut mengubah landskap pilihan raya dan memerlukan struktur perwakilan yang seiring dengan keadaan semasa.
Menurutnya, faktor geografi Sarawak yang luas, termasuk kawasan DUN yang mempunyai penempatan berselerak serta berdepan kekangan jarak dan akses, memerlukan persempadanan yang lebih sesuai.
“Ini bagi membolehkan wakil rakyat dapat memberi tumpuan secara lebih khusus kepada masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan cadangan pertukaran nama kawasan pilihan raya perlu mengambil kira sejarah, identiti, kedudukan geografi serta pandangan masyarakat tempatan bagi memastikan nama baharu benar-benar menggambarkan komuniti yang diwakili dan tidak menimbulkan sensitiviti.
