JULAU: Penduduk Rumah Rose Banyun, Sungai Gerugu, Ulu Sengaih kini tidak lagi berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih selepas projek paip graviti siap dilaksanakan.
Projek bernilai RM100,000 berkenaan melegakan penduduk rumah panjang terbabit yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada sumber air yang tidak menentu bagi memenuhi keperluan harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin, berkata penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air bersih menjadi antara keutamaan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar terus terbela.
Katanya, peruntukan projek itu disalurkan melalui agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah Julau bagi membolehkan masalah keperluan air penduduk ditangani dan kemudahan berkenaan dapat disediakan.
“Dengan adanya kemudahan ini, penduduk mendapat bekalan air terjamin untuk kegunaan seharian, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber air yang tidak konsisten,” katanya ketika merasmikan projek berkenaan hari ini.
Rolland turut menyampaikan sumbangan RM7,000 kepada Rumah Rose bagi membolehkan penduduk membeli kelengkapan dapur serta menjalankan kerja menceriakan dan memperkemaskan kawasan rumah panjang.
Beliau berkata, usaha seterusnya turut dirancang bagi memperbaiki akses ke Rumah Rose menerusi cadangan menaik taraf jalan utama sehingga ke simpang rumah panjang itu, dengan peruntukan fasa kedua sedang diusahakan.
“Pejabat Tanah dan Survei bersama agensi berkaitan sudah memberikan persetujuan kerana jalan berkenaan penting bagi memudahkan pergerakan penduduk serta meningkatkan hubungan keluar masuk ke rumah panjang,” katanya.
