KKM terus perkasakan bakal tenaga kesihatan negara

SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Hanifah Hajar Taib mengadakan lawatan kerja ke Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kejururawatan Sibu semalam, sekali gus membuka tirai Jelajah Kesihatan Borneo (JKB) Siri 4.

Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan Pengarah ILKKM Kejururawatan Sibu, Noriha Isnawi, mengenai program latihan yang ditawarkan.

Selain itu, kemudahan sedia ada serta cabaran yang dihadapi dalam melahirkan tenaga kejururawatan yang kompeten dan berkualiti untuk memenuhi keperluan sektor kesihatan negara.

Dalam sesi tersebut, Hanifah turut mendengar pandangan daripada pihak pengurusan dan warga ILKKM Kejururawatan Sibu mengenai usaha memastikan persekitaran latihan yang kondusif, relevan serta selari dengan perkembangan semasa dan keperluan perkhidmatan kesihatan.

Selesai taklimat, Hanifah meninjau sekitar institut bagi melihat keadaan fasiliti dan peralatan yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Beberapa perkara yang memerlukan perhatian serta tindakan lanjut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut dikenal pasti bagi memperkasakan kualiti latihan dan keselesaan warga institut.

Beliau turut meluangkan masa berinteraksi dengan pelajar untuk mendengar keperluan dan pengalaman mereka, selain memberikan kata-kata semangat. Y

Hanifah menegaskan bahawa ILKKM memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kesihatan yang berkemahiran, profesional dan berdaya saing demi memastikan kesejahteraan serta tahap kesihatan rakyat terus terpelihara.