KUCHING: Cadangan menukar nama Parlimen Igan kepada Parlimen Batang Lassa dilihat lebih relevan kerana nama berkenaan mencerminkan identiti geografi kawasan yang merangkumi penempatan pesisir sungai serta pedalaman.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, nama Batang Lassa sudah lama dikenali masyarakat setempat yang berasal dari nama sebatang sungai.
Katanya, cadangan nama Batang Lassa kemungkinan merujuk identiti geografi yang lebih luas merangkumi kawasan Daerah Daro dan Daerah Matu termasuk kawasan Pulau Bruit.
“Saya tiada halangan terhadap cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menukar nama Parlimen Igan kepada Parlimen Batang Lassa.
“Walaupun nama kawasan Parlimen telah ditukar, namun nama Igan masih dikekalkan bila SPR mencadangkan sebuah kawasan Dewan Undangan Sarawak yang baharu dengan nama N.53 Igan yang masih kekal di bawah Parlimen Batang Lassa,” katanya ketika diminta mengulas cadangan 17 kawasan baharu yang dipamerkan SPR bermula hari ini.
Notis fizikal akan dipamerkan di pejabat kerajaan terpilih di seluruh Sarawak selama sebulan bagi membolehkan orang ramai mengemukakan bantahan terhadap cadangan berkenaan.
Ahmad Johnie menjelaskan, cadangan persempadanan baharu oleh SPR menjadikan Parlimen Batang Lassa (sebelumnya Igan) kepada tiga kawasan DUN berbanding dua sebelum ini.
“Pertukaran atau penambahan kawasan pilihan raya ini tidak wajar dilihat sebagai semata-mata pertimbangan politik.
“Pewujudan kawasan pilihan raya baharu seharusnya dilihat sebagai usaha memperkukuhkan perwakilan dan mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” tambahnya.
Beliau sehubungan itu menggesa penduduk yang terlibat dengan cadangan persempadanan baharu kawasan pilihan raya ini untuk meneliti cadangan tersebut dengan teliti.
Sekiranya ada bantahan segera mengemukakan bantahan dalam waktu dan tempat yang telah dinyatakan.
“Pastikan setiap bantahan atau cadangan disokong oleh justifikasi yang konkrit. Pihak SPR tiada halangan untuk menerima dan mendengar segala pandangan daripada penduduk yang terlibat,” katanya.
Sebanyak 17 kawasan pilihan raya baharu dicadangkan, manakala 10 lagi dicadangkan untuk ditukar nama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kawasan pilihan raya DUN Sarawak kepada 99.
