KUCHING: Sebanyak 10,904 kanak-kanak direkodkan memerlukan pemeliharaan dan perlindungan sepanjang 2025, manakala 2,746 kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Mac 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, statistik itu menunjukkan perlindungan kanak-kanak perlu menjadi tanggungjawab bersama, bukan hanya ibu bapa, kerajaan atau agensi penguat kuasa.
“Guru, jiran, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat turut berperanan mengenal pasti serta mengambil tindakan awal terhadap kanak-kanak berisiko,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) Kebangsaan Tahun 2026 di Hotel Riverside, di sini, malam ini.
Ujar beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus memperkasakan PPKK dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) sebagai platform perkhidmatan, advokasi dan sokongan kepada kanak-kanak serta keluarga di peringkat komuniti.
Justeru jelasnya, selaras dasar baharu Tahun 2026, sebanyak 15 PAKK dijadikan projek rintis Hab Perkhidmatan Kanak-Kanak atau One Stop Centre menerusi konsep “1 PAKK 1 Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)” bagi setiap negeri dengan peruntukan RM365,000.
“Peruntukan itu merangkumi peningkatan elaun penyelia hab, pewujudan petugas serta pelaksanaan program dan aktiviti bagi mendekatkan perkhidmatan kepada kanak-kanak dan keluarga,”katanya.
Nancy menambah, pada tahun lalu juga , sebanyak 3,419 program dan aktiviti PAKK dilaksanakan yang memberi manfaat kepada 107,953 kanak-kanak di seluruh negara.
“Manakala bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, sebanyak 1,580 program dan aktiviti dilaksanakan dengan 29,754 kanak-kanak menerima manfaat,”katanya.
Langkah tersebut katanya, diharap dapat membawa perkhidmatan dan sokongan lebih dekat kepada kanak-kanak serta keluarga, selain memastikan tiada komuniti tercicir dan tiada kanak-kanak terpinggir daripada mendapat perlindungan sewajarnya. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
