Pemuda Parti PBB siap siaga sebagai pewaris kepimpinan

SIBU: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu mempersiapkan diri sebagai barisan pelapis kepimpinan parti dengan memperkukuhkan hubungan bersama masyarakat serta memahami dasar dan agenda pembangunan Sarawak.

Naib Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, golongan muda berusia 40 tahun ke bawah mempunyai peranan penting dalam menentukan kesinambungan kepimpinan parti dan hala tuju Sarawak.

“Pemuda jangan hanya hadir ketika diperlukan, tetapi mesti sentiasa berada bersama masyarakat, memahami denyut nadi rakyat dan menjadi penggerak kepada pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sembang Santai Pemimpin Bersama Pemuda Parti PBB Sibu anjuran bersama Exco Pergerakan Pemuda Parti PBB di Dewan MUC, di sini, semalam.

Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat menegaskan, semangat setiakawan dan kerjasama dalam kalangan anggota Pemuda perlu terus diperkukuh bagi memastikan setiap aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan dengan berkesan.

“Pemahaman terhadap dasar dan agenda pembangunan negeri penting supaya golongan muda dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam menyokong usaha kerajaan dan menyumbang kepada kemajuan Sarawak,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Pergerakan Pemuda Parti PBB merangkap Timbalan Menteri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben, Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda merangkap ADUN Machan, Allan Siden Gramong, Timbalan Ketua Cawangan Parti PBB Nangka merangkap Setiausaha Politik Premier Sarawak, Syed Azmi Wan Junaidi dan Timbalan Bendahari Pergerakan Pemuda merangkap Setiausaha Politik Premier Sarawak, Afiq Fiqkri Brahim.